Senin, 10 Februari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » » » » » » » PKR Wujudkan badan bebas ambil alih peranan SPR dalam persempadanan bahagian PRU

PKR Wujudkan badan bebas ambil alih peranan SPR dalam persempadanan bahagian PRU


Oleh Mohd Farhan Darwis June 02, 2013
 
KUALA LUMPUR, 2 Jun — Melihat pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kawal selia jawatankuasa pilihan Parlimen sebagai kemenangan untuk PKR, Timbalan Presiden parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Azmin Ali menegaskan, kerajaan juga perlu mewujudkan badan bebas di bawah bidang kuasa Parlimen untuk mengambil alih peranan SPR dalam urusan persempadanan kawasan pilihan raya.
Azmin (Gambar) menegaskan ia bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan pengendali pilihan raya itu lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya.
“Perihal ini adalah untuk memastikan syor — syor yang dibuat berpaksi kepada prinsip yang adil dengan landas sistem demokrasi berperwakilan,” kata Ahli Parlimen Gombak itu dalam kenyataannya awal hari ini.
Beliau menegaskan, penubuhan badan bebas itu adalah penting supaya persempadanan semula bahagian — bahagian pilihan raya ini dilaksanakan dengan asas dan kriteria — kriteria yang jelas termasuk mengambil kira “kriteria electoral quota and 5 peratus rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties”.
 Selain mengharapkan pengumuman Perdana Menteri semalam bukanlah satu tindakan “perhubungan awam”, Azmin berkata cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak atau pihak berkepentingan dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.
Najib berkata bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara semalam.
Pemimpin pembangkang dan aktivis bagaimanapun melihat usaha meningkatkan kredibiliti SPR dengan meletakkan badan pengendali pilihan raya negara ini di bawah Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) tidak bermakna tanpa menggantikan teraju utama badan berkenaan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar jelas mereka perlu diganti dengan muka baru supaya pembaharuan meningkatkan kredibiliti badan berkenaan akan lebih berkesan.
“Tidak bermakna letakkan SPR di bawah PSC sekalipun, anggota mereka perlu letak jawatan,” kata Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam.
“Mereka perlu letak jawatan, itu lebih mustahak supaya mereka mempunyai lebih kredibiliti,” katanya lagi, dan menambah SPR adalah badan bebas yang dilantik di bawah Perlembagaan dan tidak boleh ditolak ke sana-sini.
Veteran DAP, Lim Kit Siang pula dalam respon mengenai perkara itu berkata SPR seharusnya bermula dengan muka baru bagi jawatan pengerusi dan timbalannya bagi meningkatkan keyakinan rakyat.
“Pengerusi dan timbalan sekarang beroperasi seolah-olah mereka menjadi protagonis kepada ahli politik dan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
“Lebih elok sekiranya Najib mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen PR berhubung cadangan berkenaan sebelum pengumuman dibuat,” kata Kit Siang, yang merupakan ahli Parlimen Gelang Patah.
“Jadi ia akan dilihat sebagai inovasi bipartisan,” tambahnya.
SPR menjadi sasaran dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum 2013 apabila didakwa bersekongkol dengan BN bagi membolehkan parti kerajaan itu memenangi pilihan raya walaupun tewas undi majoriti kepada PR sebanyak 49 peratus.
BN memperolehi 133 kerusi, manakala PR memperolehi 89 kerusi Parlimen dengan 51 peratus undi popular. TMI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar